Pages

Thursday 29 March 2018

8 TIPS PENTING BUAT IBU MENYUSU

Walaupun proses menyusu badan nampak begitu semulajadi dan mudah, sebenarnya ia adalah sebuah cabaran besar yang hanya dapat dirasai oleh seorang ibu. Untuk membantu memudahkan anda melalui perjalanan menyusukan bayi selama 2 tahun penuh, atau sekurang-kurangnya 6 bulan pertama seperti yang disyorkan oleh doktor, ketahui 7 tips ini.


  1. MANFAATKAN ‘SKIN-TO-SKIN CONTACT’

Selepas bayi selamat dilahirkan, biasanya doktor atau jururawat akan memberi peluang untuk anda memegang bayi buat seketika. Walaupun anda terlalu letih ketika ini, jangan sia-siakan peluang ini untuk berhubung dengan bayi.
Menurut kajian sebuah jurnal, tindakan ini dapat menyumbang kepada kejayaan untuk menyusu badan dengan sempurna hingga selesai tempoh menyusu. Anda boleh juga cuba menyusukan bayi sejurus selepas bayi dilahirkan, tetapi anda tidak perlu risau jika susu anda masih belum keluar ketika itu.


  2. CARI POSISI PALING SELESA

Pada beberapa hari pertama, anda tidak perlu begitu risau jika susu yang dihasilkan belum begitu banyak. Susu kolostrum ini penuh dengan khasiat dan imuniti yang sangat menakjubkan buat kesihatan bayi sehingga ia dikenali sebagai ‘titisan emas’.
Pada awalnya, anda akan berasa kekok untuk memegang dan menyusukan bayi. Namun, jangan berputus asa. Fokuskan kepada cara menyusu badan yang betul dengan bereksperimen beberapa posisi sehinggalah anda berasa selesa.


 3. PAKAI PAKAIAN SELESA

Salah satu trik untuk mendapatkan cara menyusu badan yang selesa adalah dengan memastikan anda berdua dalam keadaan selesa.
Oleh itu, pakailah pakaian yang sesuai, duduk di tempat yang selesa, dan pastikan anda sudah menyediakan bra menyusu seawal mungkin untuk membantu memudahkan penyusuan.


4. MENGENAL PASTI TANDA BAYI LAPAR

Seeloknya, cuba kenalpasti tanda bayi anda lapar supaya anda dapat belajar menyusu badan dalam keadaan yang tenang. Apabila bayi sudah meragam dan menangis dengan kuat, sukar untuk bayi belajar melekap dengan baik.

Oleh itu, perhatikan tanda pergerakan pada mulut bayi dan cepatlah respon terhadap rengekannya.


5. PRAKTIS MENGEPAM


Tahukah anda, selain daripada digunakan untuk memerah susu, pam susu juga adalah salah satu cara untuk mengelakkan payudara anda daripada bengkak atau tersumbat. Ia juga membantu melancarkan aliran susu ibu dan meningkatkan produksi agar cukup untuk bayi.
Jadi, tak perlu rasa teragak-agak untuk cuba menggunakannya seawal beberapa hari pertama, lebih-lebih lagi jika anda bakal kembali bekerja. Lebih senang untuk anda menggunakannya nanti.


6. MASALAH PUTING MELECET

Masalah puting melecet bukan saja dialami oleh ibu yang baru, tetapi juga ibu yang sudah berpengalaman. Ia boleh berpunca daripada masalah lekapan yang tidak elok, atau gigitan oleh bayi yang sedang tumbuh gigi.

Hampir kesemua ibu yang menyusu akan mengalami masalah ini. Oleh itu, anda bukanlah keseorangan. Cuba dapatkan krim yang sesuai untuk membantu melegakan kesakitan anda dan seeloknya teruskan menyusu bayi. Jika terlalu sakit, anda boleh mengepam dan menyusukan bayi menggunakan susu perahan.


7. ‘NIPPLE CONFUSION’

Waktu yang elok untuk anda melatih bayi menggunakan puting tiruan atau botol susu pada usia sekitar 4-6 minggu, atau 2 minggu sebelum anda kembali bekerja.

Jika anda memperkenalkan botol susu terlalu awal, dikhuatiri bayi akan keliru terhadap puting dan sukar untuk belajar melekap dengan betul pada payudara. Akibatnya, ada bayi yang langsung tidak mahu menyusu badan apabila telah selesa dengan puting tiruan.


8. KEKALKAN DIET SEIMBANG

Sebelum anda bercadang untuk mengambil apa-apa suplemen, kekalkan diet seimbang dan minumlah banyak air kosong setiap hari.

Lebih elok, amalkan meminum segelas air sebelum dan selepas menyusu badan. Selain memberi tenaga, ia membantu anda untuk memproduksikan susu yang mencukupi buat bayi. Selain itu, lakukan perahan atau ‘power pumping’ dengan kerap untuk mengekalkan produksi susu badan anda setiap hari.


Semoga memberi manfaat buat ibu menyusu semua.

No comments:

Post a Comment