Apa program uols di hari Sabtu ni? Lagipun cuti sekolah dah bermula, mesti macam-macam perancangan nak bawa anak-anak berjalan kan...
Okay, hari ni anie masih lagi nak bercerita tentang penyakit Batu Karang iaitu rawatan bagi penyakit ini.
Terdapat 4 kaedah rawatan yang dijalankan oleh pihak hospital terhadap pesakit yang menghidap penyakit Batu Karang ini. Kebanyakan batu karang yang kurang dari 4mm akan dikeluarjan dengan sendiri, tetapi pesakit akan memerlukan intervensi/ rawatan jika batu itu tidak keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan. Batu tersebut mungkin membesar atau menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan. Kadangkala batu karang tersebut tidak menyebabkan kesakitan tetapi menyebabkan fungsi buah pinggang semakin teruk. Rawatn batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis batu karang tersebut.
- Extracorporeal Shockwave Lithotripsy (ESWL).
- Ini adalah prosedur yang biasa dijalankan di mana pesakit akan baring di atas meja khas dan gelombang yang dikeluarkan oleh sejenis mesin menembusi badan pesakit dan memecahkan batu itu kepada ketulan-ketulan kecil. Pesakit itu akan mengeluarkan serpihan batu itu apabila kencing. X-ray atau ultrasound digunakan untuk mengesan lokasi batu karang tersebut. Prosedur ini sesuai untuk batu karang yang kurang dari 2cm dan kebanyakan batu karang di dalam ureter boleh dilihat dengan x-ray.
- Ini adalah prosedur pesakit luar dan biasanya pesakit akan diberi suntikan penahan sakit dan ubat tidur. Batu yang lebih besar memerlukan beberapa kali siri rawatan.
- Kesan lebam mungkin boleh dilihat di bahagian belakang. Lazimnya terdapat kencing berdarah, kadangkala pendarahan ini akan menyebabkan darah beku yang besar di sekeliling atau di dalam buah pinggang. Jika terlalu besar, ia akan menekan buah pinggang. Jangkitan boleh berlaku dan pesakit akan demam dan sakit belakang. Serpihan batu itu mungkin tidak keluar kesemuanya dan akan membentuk jalur yang menghalang ureter. Oleh kerana itu, tiub akan dimasukkan untuk mengeluarkan air kencing dari pundi kencing dan buah pinggang sebelum ESWL.
2. Percutaneous Nephrolithotomy.
- Dalam prosedur ini, doktor akan melakukan hirisan kecil pada belakang pesakit di bahagian buah pinggang untuk membentuk satu laluan bagi memasukkan sejenis alat yang berteleskop. Batu karang dilihat dan dipecahkan dengan sumber kuasa seperti laser, ultrasound atau angin. Di akhir prosedur, pesakit akan ada tiub sementara untuk mengeluarkan air kencing. Prosedur ini dijalankan dengan bius penuh, sesuai untuk batu karang yang lebih besar dari 2cm dan yang gagal ESWL.
- Komplikasi yang biasa berlaku adalah jangkitan dan pendarahan semasa atau selepas prosedur. Kadangkala agak mustahil untuk mengeluarkan kesemua batu karang tersebut dan pesakit perlu menjalani prosedur kecil melalui hirisan yang sama untuk mengeluarkan baki batu tersebut.
3. Ureteroscopy.
- Prosedur ureteroscopy melibatkan prosedur memasukkan sejenis alat urethra, pundi kencing dan ke dalam ureter. Batu karang akan dipecahkan, dikeluarkan dan tiub sementara akan dipasang dalam ureter untuk mengeluarkan pundi kencing. Prosedur ini dilakukan dengan bius penuh dan sesuai untuk batu karang dalam ureter yang besar, tidak dapat dilihat dengan x-ray atau gagal dipecahkan dengan ESWL.
- Komplikasi yang biasa termasuklah kecederaan pada ureter, jangkitan dan pendarahan.
4. Pembedahan Terbuka.
- Ini jarang dilakukan sekarang kerana kebanyakan batu boleh dikeluarkan dengan cara lebih mudah. Untuk pesakit yang mempunyai batu karang yang besar, ia masih lagi menjadi pilihan. Kadangkala apabila buah pinggang dengan batu karang ini menjadi berparut dan tidak berfungsi dengan baik, ia akan dikeluarkan. Masih lagi ada peranan pembedahan terbuka untuk membuang batu karang yang besar.
No comments:
Post a Comment