Pages

Monday 24 April 2017

JALAN KENALI MAHA PENCIPTA


Setiap tahun kita mendengar pengkisahan peristiwa benar yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW .

Peristiwa yang menjadi petanda bermulanya pensyariatan ibadah solat fardu yang menjadi antara Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap muslim.

Peristiwa dimaksudkan itu ialah Isra' dan Mikraj. Isra' Mikraj adalah satu peristiwa besar dilalui sendiri oleh Rasulullah SAW atas ketentuan Allah SWT, malah turut dirakamkan di dalam al Quran melalui surah al Israk.

Firman Allah SWT bermaksud : Maha Suci Allah yang menjalankan hambaNYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(surah al Isra' : ayat 1)

Hakikatnya, peristiwa Isra' Mikraj tidak dijelaskan secara terperinci dalam al Quran. Sebaliknya, dijelaskan dengan lebih lanjut melaluibeberapa hadis Rasulullah SAW.

Perkataan Isra' bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari Masjid al Haram di Mekah ke Masjid al Aqsa di Palestin.

Perkataan Mikraj pula bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW dari bumi (dari Masjid al Aqsa) naik ke langit (sidrat al Muntaha) untuk mengadap Allah SWT.

Isra' Mikraj membabitkan dua perkara yang berlaku secara langsung iaitu perjalanan pada waktu malam dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsa dan perjalanan dari bumi naik ke langit.

Peristiwa itu dialami sendiri oleh Rasulullah SAW dengan roh dan jasad Baginda dan termasuk dalam kategori al ghaybiyyat (perkara ghaib).

Ia peristiwa luar biasa kerana kejadian itu dilalui Rasulullah SAW dalam waktu singkat pada sebahagian malam.

Jika difikirkan jarak antara Masjid al Haram dengan Masjid al Aqsa, ia bukanlah satu jarak yang dekat, apatah lagi untuk naik ke langit.

Namun, ia satu peristiwa yang benar-benar berlaku. Sebenarnya, terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan ulama mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa Isra' Mikraj. Tetapi percanggahan itu tidak boleh sama sekali dijadikan sebab untuk menolak kesahihannya. Terdapat banyak hikmah yang boleh diambil disebalik berlakunya peristiwa Isra' Mikraj ini.

Antara hikmah peristiwa Isra' Mikraj ialah menzahirkan kehebatan dan keagungan Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang mampu menandingi kehebatan Allah SWT.

Hikmah lain mengenai peristiwa Isra' Mikraj yang berkait langsung dengan kehebatan dan keagungan Allah SWT ialah :
  • Menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang boleh meningkatkan iman kepadaNYA.           
 Allah SWT Maha Berkuasa melakukan apa juga perkara meskipun ia sukar difikirkan oleh logik akal manusia.

Allah SWT berkuasa memperjalankan Rasulullag SAW bukan sahaja antara satu tempat dengan tempat yang lain, malah membabitkan perjalanan ke langit dunia.

Inilah dijelaskan pada penghujung ayat pertama daripada surah al Isra', sekaligus menjelaskan antara hikmah utama berlakunya peristiwa Isra' Mikraj.

  • Menzahirkan kasih sayang Allah SWT yang tidak pernah membiarkan hambaNYA yang berada dalam kesedihan terus dilanda kesedihan.
Pada saat Rasulullah SAW kehilangan isterinya, Khadijah serta bapa saudara Baginda yang banyak melindungi Baginda daripada ancaman musyrikin Makkah, Allah SWT menghilangkan sementara kesedihan itu dengan menjemput Baginda menemuiNYA di Sidrat al Muntaha.

  • Menjelaskan kepentingan ibadah silat fardu lima waktu yang wajib ditunaikan setiap Muslim.
Ibadah solat difardukan secara langsung olah Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umat Baginda melalui peristiwa Isra' Mikraj.

Hal ini berbeza dengan pensyariatan ibadah lain. Ibadah solat adalah satu perintah yang kelas merujuk kepada tujuan utama penciptaan manusia di dunia iaitu untuk beribadah kepadaNYA.

DIAlah tuhan yang layak disembah setiap makhluk yang diciptakanNYA. Firman Allah SWT di dalam al Quran bermaksud : " Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKU." (surah az Dzariyat : ayat 56).

Terdapat banyak lagi pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa Isra' Mikraj. Setiap yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW bukan sekadar untuk diulang bagi menyedapkan telinga mendengar tetapi untuk diinsafi serta diambil pengajaran berguna disebalik peristiwa itu.

Inilah antara perkara yang perlu diambil perhatian setiap Muslim. Peristiwa Isra' Mikraj juga adalah peristiwa benar yang menzahirkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.

Hakikatnya, semua makhluk di dunia ini bersifat lemah dan serba kekurangan. Hanya Allah SWT yang bersifat dengan sifat- sifat kesempurnaan.

Sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT, sewajarnya peristiwa Isra' Mikraj dapat dijadikan jalan hntuk lebih mengenali Allah SWT.

Marilah kita merenung segala ciptaan Allah SWT yang terdapat di sekeliling kita. Semua yang diciptakan Allah SWT tidak sekali-kali mampu ditandingi oleh makhlukNYA.

Firman Allah SWT yang bermaksud : " Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah SWT) bagi orang yang berakal". (surah al Imran : ayat 190).



No comments:

Post a Comment