Pages

Wednesday 20 December 2017

KURANGI IMPAK RENGAT SELEPAS BERSALIN


Sudah menjadi satu kitaran normal bagi seorang wanita hamil, rahimnya akan mengembang ratusan kali ganda daripada biasa sepanjang sembilan bulan sepuluh hari mengandungkan si permata hati. Selepas melahirkan, rahim akan kembali mengecut kepada keadaan asal. Proses ini dikenali sebagai rengat atau 'afterbirth' mahupun 'involution'. Rengat membuatkan ibu mengalami kekejangan kuat pada bahagian abdomen. Amplifikasi tahap kesakitannya akan terus meningkat terutamanya selepas menyusukan bayi.

Situasi itu berlaku kesan daripada pembebasan hormon oksitosin saat menyusukan anak. Pengeluarannya cukup mustahak dalam membantu pengecutan dan penyembuhan rahim wanita selepas melahirkan. Sekiranya kehadiran hormon tidak berlaku, masalah komplikasi kesihatan seperti tumpah darah boleh terjadi.

Bilakah ibu akan mengalami rengat? Biasanya rengat akan mula dialami sekitar 24 jam sehingga 10 hari seleas bersalin. Biarpun kehadiran rengat bersifat sementara, anda tetap memerlukan keadaan fizikal yang selesa dan tidak menekan saat berpantang agar emosi mental serta fizikal sentiasa tenang dan stabil. Justeru, sekiranya mengalami rengat, cubalah ikuti tips mudah ini untuk mengurangkan kesakitannya.

1. Kurangkan Tekanan.

Kajian di PubMed menunjukkan asosiasi stres dan depresi ibu dalam berpantang ada kaitan yang kuat dengan kegagalan menguruskan kesakitan selepas bersalin. Bagi mngelakkan gangguan ini, lakukan teknik pernafasan atau hipnosis apabila rengat 'menyerang' untuk membantu mengawal kesakitan.

 2. Kerap Buang Air Kecil.

Antara tips lain yang boleh dilakukan adalah dengan sentiasa membuang air kecil untuk mengosongkan pundi kencing. Pundi kencing yang penuh menjadi punca tahap sakit rengat bertambah teruk.

3. Bertungku Cara Tradisional.

Petua tradisional juga boleh diamalkan. Menuam batu panas atau bertungku pada sekitar rahim selain menyapu losyen panas untuk melegakan kesakitan yang dialami. Dalam pada itu, amalan ini turut mempercepatkan proses pengecutan rahim. Namun, sekiranya anda bersalin secara pembedahan, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum melakukan tips ini.

4. Bantal jadi Penyelamat.

Anda boleh tekap abdomen dengan bantal, kemudian turunkan kedudukan muka anda ke bawah. Lakukan sehingga anda berasa sedikit lega.

5. Urutan.

Urut bahagian bawah perut anda perlahan-lahan. Sekiranya anda bersalin menerusi pembedahan, cukup sekadar mengusap perlahan kawasan yang sakit.

No comments:

Post a Comment