Pages

Monday 18 December 2017

UJIAN BUKTIKAN KEIMANAN INSAN



Terciptanya manusia di atas muka bumi ini mempunyai misi yang jelas iaitu untuk menyembah Allah Yang Maha Esa. Penciptaan syurga dan neraka pula menjadi bukti akan adanya hari perhitungan untuk menilai setiap amalan dilakukan manusia ketika mereka hidup di dunia.

Samada kehidupan ini diliputi kesenangan atau kesengsaraan, hakikatnya semua itu adalah ujian kehidupan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “DIAlah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)”.
(Surah al-Mulk, ayat 2)

Ujian perlu dilalui dengan penuh sabar dan redha kerana ia datang daripada Allah SWT. Hal itu menolak tanggapan sesetengah orang yang apabila ditimpa ujian dan kesusahan, mereka menyalahkan takdir selain menganggap Allah SWT tidak mengasihinya dengan mendatangkan ujian dalam kehidupan. Firman Allah SWT bermaksud : “Dan antara manusia ada berkata : ‘Kami beriman kepada Allah’. Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah SWT , dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah SWT ”.
(Surah al-‘Ankabut, ayat 10)

Itulah pandangan salah golongan yang rapuh imannya. Memang benar, ujian yang ditanggung pastinya berat. Namun, adakalanya kesenangan dan kemewahan dinikmati juga adalah satu bentuk ujian. Ia menguji samada dengan limpahan nikmat itu manusia semakin hampir kepada Allah SWT atau sebaliknya. Firman Allah SWT bermaksud : “Dan KAMI akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada KAMIlah kamu akan kembali”.
(Surah al-Anbiya’, ayat 35)

Tidak ada seorang pun yang sampai kepada darjat orang beriman sebelum diberi ujian oleh Allah SWT. Hal itu dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, KAMI menguji golongan yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa diketahui Allah SWT golongan yang sebenarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNYA tentang golongan yang berdusta”.
(Surah al-‘Ankabut, ayat 2-3)

Manusia tidak cukup dengan hanya berkata : ‘Kami beriman’. Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Ujian yang ditimpakan Allah SWT kepada golongan yang mendakwa diri mereka beriman kepada Allah SWT bertujuan mengesahkan keimanan ataupun meningkatkan keimanan mereka kepadaNYA.

Golongan Rasul turut menerima ujian dalam perjalanan dakwah. Dalam kalangan mereka ada mendapat gelaran Ulul ‘Azmi iaitu satu kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Gelaran Ulul ‘Azmi diberikan kepada golongan Rasul yang memiliki ketabahan dan kesabaran yang luar biasa dalam menyebarkan agama Allah SWT. Keadaan itu secara langsung menempelak tanggapan sesetengah pihak apabila dianjurkan untuk mencontohi keperibadian golongan Rasul itu, mereka menolaknya dengan berkata : “Mereka semua Rasul, pilihan Allah SWT, kekasih Allah. Kitakan manusia biasa”.

Kata-kata sebegitu tertolak dengan sendirinya kerana Rasul yang beriman kepada Allah SWT juga tidak terlepas daripada menerima ujianNYA. Malah Allah SWT menitahkan supaya Rasulullah SAW bersabar seperti mana sabarnya Rasul Ulul ‘Azmi dalam menghadapi tentangan dan ujian daripada golongan kafir. Firman Allah SWT bermaksud : “Maka bersabarlh wahai engkau (wahai Muhammad) sebagaimana sabarnya para Rasul Ulul ‘Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan para Rasul (yang terdahulu daripadamu) dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu)”.
(Surah al-Ahqaf, ayat 35)

Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya bersabar dalam menghadapi ujian hidup kerana Allah SWT akan mengampuni dosa hambaNYA yang sentiasa bersabar. “Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui Allah SWT dalam keadaan tidak berdosa”.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

No comments:

Post a Comment